Gaya Hidup Lestari, Sinar Kepada Bumi

Sampah sarap, tapak pelupusan, karbon dioksida dan kitar semula. Itulah adalah antara perkataan yang kerap kita dengar apabila membicarakan tentang alam sekitar. Pelbagai kempen berkaitan pemuliharaan alam sekitar telah dijalankan oleh pihak kerajaan namun persoalannya, sejauh manakah semua itu terkesan di benak pemikiran kita? Apakah pencapaian dan sumbangan kita yang akan dapat membantu menyelamatkan alam sekitar? Memandangkan dunia sedang berdepan dengan pelbagai isu pencemaran alam sekitar seperti pemanasan global, kepupusan flora dan fauna, pencemaran laut dan sungai, jerebu dan pencemaran bunyi, tidakkah terdetik di fikiran kita betapa tenatnya bumi kita kini? Ibarat telur di hujung tanduk. Bila-bila masa sahaja akan musnah sekiranya kita terus memusuhi alam dengan tindakan kita. Bumi adalah satu-satunya planet yang selamat untuk diduduki dan membolehkan kita dan hidupan lain hidup bebas. Bukankah alasan ini sudah cukup untuk menyedarkan kita tentang kepentingan menjaga dan memelihara alam sekitar.

Kepentingan pemuliharaan alam sekitar memerlukan kerjasama dari pelbagai pihak dan semua peringkat umur. Individu, keluarga, masyarakat haruslah berganding bahu jika mahukan bumi sentiasa hijau. Sumbangan dari pelbagai institusi sama ada badan kerajaan atau swasta, institusi pengajian dan badan-badan korporat juga penting dalam menjayakan matlamat ini. Amalan gaya hidup lestari sebenarnya amat mudah untuk dipraktikkan oleh kita semua. Antaranya, kita boleh berbelanja secara berhemat, menjimatkan pengunaan sumber air, tenaga dan bahan bakar, menggunakan bahan-bahan yang tidak mendatangkan kesan negatif kepada alam sekitar serta menggunakan teknologi bersih dan juga mesra alam.

Tahukah anda sampah domestik merupakan antara penyebab utama pencemaran berlaku. Sampah domestik adalah bahan-bahan buangan yang dibuang dari rumah atau dapur. Contohnya ialah pakaian lama atau buruk, botol, kaca, kertas, beg plastik, tin aluminium dan juga sisa makanan. Sampah bukan domestik pula ialah bahan-bahan buangan yang terhasil dari industri, tapak pembinaan, pekedai atau pasar dan pejabat. Bahan-bahan buangan ini terdiri daripada berbagai jenis termasuklah sisa jualan, sisa pembungkusan dan sisa daripada proses pengilangan. Pengguna domestik menghasilkan dua jenis sisa pepejal, iaitu sisa organik dan sisa daripada bahan-bahan pembungkusan barangan yang dibeli. Bahan organik boleh mereput dengan mudah. Namun, sesetengah bahan pembungkusan tidak boleh mereput dengan cepat.

Cara perlupusan bahan buangan rumah yang biasa diamalkan oleh penduduk di kawasan perumahan samada di bandar atau di kampung biasanya adalah melalui tong sampah, sistem aliran air paip, pembakaran terbuka ataupun ditanam. Tetapi terdapat juga penduduk yang masih kurang peka kepada kebersihan alam sekitar dengan membuang sampah ke dalam parit, tali air atau sungai, meninggalkannya di tepi jalan atau di kawasan lapang. Kebanyakan dari kita tidak sedar bahawa sampah yang dibuang ke dalam tong setiap hari mengandungi bahan toksik seperti logam berat dan agen penyebab kanser. Tahukah anda, secara puratanya, setiap isi rumah membuang 4.5kg sampah setiap hari? Pihak kerajaan terpaksa membelanjakan lebih daripada RM400 juta setahun untuk melupuskan sampah di seluruh negara sedangkan sebahagian besar daripada sisa buangan ini terdiri daripada sisa organik dan bahan kertas yang boleh dikitar semula. Memandangkan tempat pelupusan yang semakin hari semakin penuh dengan sampah pada kadar yang mencemaskan pelbagai cadangan diberi bagi mengatasi masalah ini. Salah satu daripadanya ialah agar rakyat Malaysia tidak membuang sisa-sisa berbahaya di tempat pelupusan dan ini perlu bermula dari rumah sendiri.

Gaya hidup lestari adalah gaya hidup mesra alam yang perlu diaplikasi dalam semua aktiviti kita seharian. Ini bermakna kehidupan lestari diasaskan kepada amalan dan gaya hidup sesuai dengan keperluan generasi sekarang dan akan datang. Dalam konteks alam sekitar, penggunaan sumber perlu dilakukan secara optimum tanpa menjejaskan keseimbangan ekosistem dan pemuliharaan flora dan fauna. Cara hidup lestari membabitkan penghayatan minda lestari dalam seluruh bidang kehidupan. Sebagai individu kita boleh mengambil beberapa langkah bagi memimumkan pencemaran alam sekitar. Antaranya jangan gunakan beg plastik kerana ianya memakan masa beratus tahun untuk mengurai dan reput. Gunakan bakul atau beg sendiri ketika membeli belah. Belilah produk mesra alam yang diktiraf, kerana ini menunjukan anda telah membantu mengurangkan beban kepada alam sekitar. Belilah barangan yang mempunyai bahan pembungkusan yang boleh diguna semula dan dikitar semula (kertas, kaca dan logam). Pengasingan sampah yang dihasilkan di rumah patut dibuat. Dengan cara ini kita boleh mengumpul dan menjual barangan ini

Anda mampu melakukan banyak perkara bagi membantu melindungi alam sekitar dan sekaligus membantu diri anda sendiri. Perkara yang paling mudah ialah mengamalkan cara hidup lestari dan mengamalkan konsep 5R iaitu Rethink (fikir semula), Reduce (Kurangkan), Repair, (perbaiki), Reuse (guna semula), Recycle (kitar semula). Konsep ’rethink’ atau fikir semula bukan hanya terhad kepada fikir dulu sebelum buang sahaja, malah sebagai pengguna hendaklah bertindak untuk mengetahui dan mengambil kira bungkusan produk yang kita beli itu boleh dikitar semula atau digunakan semula. Konsep ’R’ kedua adalah ’repair’ atau baik pulih iaitu memeriksa dengan teliti untuk tujuan membaiki atau memulihkan keadaan sesuatu supaya barangan tersebut dapat dilupuskan secara berkesan. Konsep seterusnya ialah ’reduce’ yang bermaksud mengurangkan penggunaan pelbagai sumber terutamanya sumber asli seperti kayu, petroleum dan sabagainya. ’Reuse’ atau guna semula pula bererti menggunakan semula barangan atau alatan yang terbuang untuk dimanfaatkan menjadi barangan lain yang berguna.

Kitar semula membawa maksud memproses barangan lusuh atau bahan buangan menjadi produk baru. Dengan kitar semula, kita sebenarnya banyak berjasa kepada bumi kerana sumbangan kita yang kecil ini begitu besar faedahnya kepada bumi. Dengan kitar semula, kita bukan sahaja menjimatkan kos, malah mengurangkan pembukaan tapak pelupusan yang baru. Ini kerana buat masa ini, kapasiti tapak pelupusan sampah kita semakin terhad. Dan lebih membimbangkan lagi, kini timbul pelbagai masalah dan rungutan seperti isu keselamatan, resapan bahan kimia ke dalam sumber air bawah tanah dan sebagainya. Dengan kita mengamalkan kitar semula sebagai cara hidup kita kita dapat membina persekitaran yang lebih bersih dan sihat, mengurangkan pencemaran, menjimatkan kos, menjimatkan sumber asli dan tenaga dan memelihara hutan. Semua kepentingan ini berhubung kait dengan manusia kerana tanpa bumi dimanakah kita akan tinggal?

Gaya hidup yang lestari mengambarkan kita bersopan atau beretika dengan bumi. Etika alam sekitar ini sangat penting di dalam menjaga keharmonian dan kelestarian alam sekitar ini. Setiap individu mestilah menghargai alam sekitar sebagai sebuah sumber yang cukup penting di dalam kehidupan ini. Begitu juga dengan etika alam sekitar yang berhubungan dengan sampah sarap. Sampah sarap terhasil dari segala aktiviti manusia, baik yang bersifat individu dan berkolompok. Apabila setiap orang yang menghasilkan sampah tidak memperdulikan cara pembuangan dan pengurusan yang baik, maka ianya dapat menjejaskan alam sekitar yang akhirnya dapat menurunkan kualiti hidup manusia.